Umat Islam mempunyai nilai tersendiri dalam menonjolkan diri seperti mana yang digalakkan mengikut syarak.
Rasulullah SAW menegaskan: " Bahawa Allah itu indah, Allah sukakan keindahan".
Maksud keindahan yang baginda tegaskan ialah keindahan yang memenuhi tuntutan fitrah semula jadi manusia iaitu keindahan yang tidak sampai menyebabkan lelaki menjadi lembut seperti wanita atau sebaliknya. Keindahan yang digalakkan dalam Islam ialah keindahan yang memenuhi ciri khas lelaki dan perempuan.
Allah menegaskan dalam surah An-Nisa' yang bermaksud:
"Janganlah kamu (samaada lelaki mahupun perempuan) menginginkan kelebihan yang telah diberikan Allah kepada sebahagian yang lain (jenis yang berlainan). Bagi kaum lelaki apa yang mereka kerjakan. Manakala untuk kaum wanita pula apa yang mereka usahakan. Oleh itu, harap dan mohonlah kurnia Allah. Allah Maha Mengetahui (rahsia) segala-galanya."
Mengenai hukum mencabut bulu kening, ia adalah haram samada bagi lelaki mahupun perempuan.
Rasulullah SAW bersabda: "Allah mengutuk wanita yang memakai rambut palsu atau minta dipakaikan rambut palsu dan wanita yang mencabut bulu kening atau minta dicabutkan bulu keningnya."
(H.R Abu Daud)
Juga hadis riwayat Muslim:
"Allah mengutuk wanita yang membubuh tatu atau menyuruh orang membubuh tatu (dibadan) yang mencabut kening atau menyuruh orang mencabut keningnya atau yang mengasah giginya untuk menghias diri dan merubah ciptaan Allah."
*Jika bulu kening berkenaan luar biasa dan dalam bentuk yang mencacatkan keindahan wajah seseorang maka bolehlah diubah ke tahap normal walaupun terpaksa mencabut beberapa bahagian bulu kening di tempat yang tertentu.
*Menurut ulama',kalau anggota wajah seseorang adalah normal maka haram membuat apa-apa perubahan dalam bentuk yang telah diciptakan oleh Allah. Tetapi kalau keadaannya cacat yang mengaibkan maka bolehlah anggota berkenaan diubah dengan cara yang selamat dan memolekkan rupa paras seseorang itu.

No comments:
Post a Comment